Wednesday, November 2, 2011

Budaya dan Warisan


gambar ihsan en. google *sekadar hiasan

Budaya dan warisan merupakan dua perkataan yang sering kali diperkatakan khususnya apabila membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan sejarah bangsa dan negara. Dari sudut tafsiran, Budaya berasal daripada perkataan Sanskrit buddayah, yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi, yang bermaksud budi pekerti atau akal, atau secara amnya membincangkan hal-hal berkaitan budi dan akal manusia.

Di dalam pengertian yang luas pula bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia, berlawanan dengan "perkara semula jadi"' yang bukan diciptakan atau boleh diubah oleh manusia. Atau secara ringkasnya, budaya adalah cara hidup yang dikerjakan oleh manusia yang mana dapat membentuk budi pekerti yang baik dan tidak bercanggah dengan akal fikiran manusia yang waras.

Warisan pula dapat didefinisikan sebagai suatu (harta) peninggalan yang ditinggalkan oleh pewaris kepada ahli warisnya. Secara bahasa pula warisan berasal dari bahasa arab "al-miirats" yang beerti berpindahnya sesuatu dari seseorang kepada seseorang yang lain atau boleh juga disebut berpindahnya dari suatu kaum kepada suatu kaum yang lain.

Budaya atau kebudayaan merupakan suatu cara hidup (lifestyle) sesuatu kaum yang mana cara hidup tersebut diterima pakai dan dipraktikkan oleh sekumpulan manusia yang ramai. Jika lifestyle itu hanya dipraktikkan oleh segelintir manusia, maka itu tidak disebut sebagai budaya. Pada kacamata saya, budaya secara lazimnya berteraskan kepercayaan sesuatu kaum. Maka sesuai dengan kepercayaan itu, akan lahir amalan, adat dan adab yang menjadi simbol kepada kepercayaan kaum tersebut. Sebagai orang Melayu, saya mengambil contoh budaya Melayu itu sendiri. 

Sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, orang-orang Melayu pada ketika itu mengamalkan budaya atau cara hidup berteraskan agama Hindu. Maka, amalan-amalan seperti bertapa, memuja-muja dan cara kehidupan seharian mereka banyak diambil dari agama hindu. Namun begitu, selepas kedatangan Islam ke Tanah Melayu, suatu transformasi besar-besaran telah berlaku ke atas orang Melayu itu sendiri. Perubahan dari sudut kepercayaan kepada agama Islam, telah membawa perubahan kepada budaya orang Melayu yang mana semua amalan, adat, adab, keperibadian dan semua aspek kehidupan adalah berteraskan agama Islam. 

Para ulama dan mubaligh-mubaligh Islam yang datang ke Tanah Melayu dahulu telah berjaya mewujudkan suatu transformasi budaya yang mana di dalam budaya itu diisi dengan ilmu-ilmu dan kepercayaan (islam dan iman) yang sesuai dengan cara hidup masyarakat Melayu. Maka dengan mengamalkan budaya itu, akan lahir masyarakat yang mempunyai cara hidup yang berlandaskan Islam dan Iman.

Budaya Melayu yang telah ditransformasikan ini merupakan suatu warisan yang unggul. Namun begitu warisan ini tidak boleh diwarisi melalui pertalian darah. Ini kerana ilmu, islam dan iman tidak boleh berpindah atau diwariskan dari seorang bapa kepada anaknya. Oleh itu ia menjadi tanggungjawab kita bersama sebagai orang Melayu yang beragama Islam untuk mempertahankan budaya ini. Jika kita tidak mempertahankannya, suatu masa nanti anak cucu cicit dan generasi kita mungkin tidak lagi dapat mengamalkan budaya ini. Memburukkan lagi keadaan budaya-budaya barat yang secara nyata berlandaskan agama-agama yahudi dan nasrani kian mendapat tempat dihati anak bangsa kita. 

Cukuplah sekadar mengambil ilmu dari luar, tetapi janganlah sampai membawa budaya mereka sekali. Kerana budaya adalah cara hidup, dan cara hidup orang Melayu adalah Islam.

Salam alaik :)

No comments: