Assalamualaikum wbt.
Perjuangan sememang mudah untuk diungkap dengan kata-kata tetapi sukar dan berat untuk diterjemahkan kepada bentuk perbuatan. Perjuangan yang sebenar memerlukan kesanggupan, kesabaran, keikhlasan dan pengorbanan yang menyeluruh dalam memperjuangkan sesuatu hak, pegangan atau prinsip seseorang individu. Perjuangan diri, keluarga, bangsa, negara dan yang paling tinggi ialah perjuangan menegakkan agama Allah SWT.
Perjuangan memakmurkan agama Allah SWT adalah makam tertinggi kerana perjuangan ini memerlukan keikhlasan dan dilakukan semata-mata mencari redha Allah SWT. Perjuangan ini perlu diisi dengan pengorbanan harta, masa dan tenaga yang banyak dalam menegakkan sesuatu kebenaran. Maka, barang sesiapa yang meniti perjuangan ini mereka di gelar fisabilillah. Makam fisabilillah ini bukan lah tertumpu kepada jihad di medan peperangan sahaja. Tetapi jihad atau perjuangan sebenar seorang insan adalah mempertahankan agama yang ada pada dirinya dari godaan hawa nafsu dan tipu daya syaitan. Maka, perjuangan ini adalah lebih utama dan wajib ke atas setiap muslim membuat persediaan menghadapi nya.
Disebutkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW:
Rasulullah SAW penah ditanya "Apakah yang lebih besar?" maka Rasulullah SAW menjawab, "seseorang hamba mujahadah melawan hawa nafsunya"
Perjuangan melawan hawa nafsu adalah bermaksud perjuangan/jihad untuk membersihkan jiwa dan menyucikan hati dari sifat-sifat yang keji, dari godaan hawa nafsu dan fitnah-fitnah dunia yang boleh merosakkan agama yang berdiri di dalam hati. Maka wajib ke atas setiap muslim untuk mempertahankan agama dan akidah di dalam hatinya supaya dapat ia sentiasa mentaati Allah SWT. Maka jihad ini adalah jihad agung kerana kerana iman manusia di uji dengan musuh yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera manusia.
Godaan dan ujian ini datang seiring dengan tingkatan iman seseorang itu. Sesiapa yang tinggi imannya, semakin berat dugaan yang dihadapinya. Maka, dengan dugaan itu, Allah SWT mengangkatnya ke tempat yang lebih tinggi dan memperkukuhkan lagi keimanan di hatinya. Dugaan itu pasti akan hadir sekiranya seorang hamba berikhtiar untuk menduduki jalan makrifat yakni ingin menghambakan dan menghampirkan dirinya kepada Allah SWT. Iman nya sering diuji dengan dugaan 3 Ta: takhTA, harTA dan waniTA, untuk membuktikan tahap keimanan nya kepada Allah SWT. Dengan itu, bermulalah perjuangan nya untuk mempertahankan agama dan iman di dalam dirinya untuk menewaskan 3 TA yang pasti kan hadir untuk menguji keutuhan benteng imannya.
Setiap dugaan itu perlulah ditangkis satu per satu. Tetapi bagaimana ingin ditangkis jika tiada alat/ilmu untuk kita menangkisnya. Oleh itu, wajib ke atas kita untuk membuat persediaan bagi mempertahankan agama yang ada dalam diri kita dari diceroboh oleh musuh yang nyata mahupun yang tidak nyata sebelum kita memperjuangkan dan mempertahankan agama Islam yang kita sayangi ini. Maka, inilah perjuangan sebenar seorang hamba, yakni membersihkan hati dari penyakit hati serta menyucikan jiwa dari 3 TA.
Jika benar ingin berjuang, siapkan lah diri sekuasa-kuasanya. Pertahankanlah agama dalam diri, dari musuh yang tersembunyi. Utuhkan tugu keimanan, sekalian musuh pasti dapat ditawan. Dengan pimpinan mursyid yang siddik, hati buta menjadi celik, akal sujud kembali cerdik.
*sekadar pandangan seorang hamba yang fakir.
No comments:
Post a Comment