Assalamualaikum wbt,
Kecantikkan dan seindah perhiasan adalah wanita solehah. Diciptakan dari rusuk Adam, maka lahirlah Hawa yang sentiasa menjadi peneman dan pembantu yang setia. Ciptaan Allah SWT Yang Maha Sempurna, segala sifatnya dibuktikan kepada mereka yang melihat dengan izin Nya.
Menurut hadis Rasulullah SAW, wanita ini diibaratkan seperti tulang yang bengkok. Jika ingin diluruskan maka patah la ia. Jika tidak dilentur, bengkok la ia selamanya. Hari ini tidak ramai wanita yang mengetahui kelebihan yang Allah SWT telah kurniakan kepada diri mereka. Sesungguhnya, kedudukkan wanita di sisi Islam sangat lah tinggi sehingga Allah SWT telah meletakkan martabat seorang ibu itu lebih tinggi dari seorang bapa.
Jika dikaji dengan teliti, mengapa hanya wanita sahaja yang dikurniakan rahim. Dan mengapa dipanggil rahim, mengapa setiap manusia yang ingin lahir ke dunia perlu melalui rahim itu. Bukankah ar-Rahim itu adalah sifat Allah SWT yang bererti yang Maha Penyayang. Maka Allah swt telah meminjamkan sebahagian sifatNya itu kepada kaum Hawa sebagai tanda kasih Nya kepada kita. Tidak hairanlah mengapa seorang ibu sangat kasih dan sayang kepada anaknya. Maka, menjadi tanggungjawab kepada diri mereka untuk mempertahankan kurnia itu kerana setiap kurnia dan amanah itu pasti akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak.
Begitu Pemurah nya Allah SWT. Dikurniakan juga seorang wanita itu sifat kelembutan. Jika dikaji, fitrah seorang wanita itu, suka kepada kelembutan, perlahan-lahan, sabar, berkasih sayang dan penuh dengan kemaafan di dalam diri mereka. Hati mereka mudah tersentuh dan suka kepada kelembutan. Bukankah Allah SWT itu Maha Lemah Lembut dan cinta kepada mereka yang bersifat lemah lembut. Maka, dipinjam kan juga sifat-sifat itu kepada wanita supaya lebih kenal mereka kepada Pencipta mereka. Maha Suci Allah dari segala sesuatu yang disifatkan.
Pelbagai kurnia Allah SWT kepada kaum Hawa ini, menjadikan mereka hiasan dunia yang begitu indah sekali. Di fitrahkan juga kepada kaum Adam untuk suka melihat keindahan dan kecantikkan. Atas sifat kasih Allah SWT kepada hamba-hambanya, supaya mereka tidak melampaui batas, maka dijadikan Aurat ke atas diri Adam dan Hawa. Persoalan yang lain, Apakah aurat itu sekadar memakai pakaian menutup badan?
Aurat juga hiasan seorang wanita. Berhati-hatilah dalam menjaga aurat kerana Iblis sentiasa mencari ruang dan peluang untuk merosakkannya.Tetapi aurat itu bukanlah sekadar memakai baju yang lebar, tudung yang labuh, bahkan ia lebih dari itu. Aurat yang sebenar adalah perasaan malu kepada Allah swt di dalam hati untuk melakukan dosa dan maksiat. Maka aurat inilah yang lebih utama untuk dijaga. Maka, dengan sifat malu itu tadi, ditutup lah anggota badannya, dipelihara kehormatan dirinya, tidak terbit nafsu pada dirinya dan kepada sesiapa yang melihatnya. Jika hilang sifat malu itu, maka hilanglah maruah dirinya, datanglah Iblis membisik kepada nya, terbuka lah semua pintu nafsu, hampir lah fitnah kepada dirinya, pada saat itu semua sanggup diberinya. Walaupun seluruh badan dibungkus, tetapi auratnya tetap tidak dipelihara.
Oleh itu, jangan lah bergantung hati kepada pakaian. Tetapi bergantung hatilah kepada Allah swt supaya mengurniakan perasaan malu untuk melakukan dosa. Menutup aurat itu hanyalah sebagai usaha, tetapi bergantung hatilah kepada Allah. Marilah kita bersama-sama mempertahankan syariat Rasulullah SAW, dan berdoa supaya umat Islam khususnya di Malaysia dipelihara dari dosa zina dan fitnah akhir zaman.
Dikurniakan ke atas mereka kecantikkan dan keayuan, yang mana apabila sang suami melihat pemandangan yang indah itu, tidak terasa penat dan amanah yang ditanggung olehnya. Begitu lah tinggi darjat seorang wanita di sisi Islam maka jangan lah sesekali merendahkannya. Begitu juga kepada seseorang lelaki, janganlah dipetik selagi belum berkembang, selagi bukan hak, syariat mesti dipelihara.
Wahai wanita-wanita yang Islam muliakan, peliharalah aurat mu, persiapkan lah benteng iman mu, pertahankan diri mu, fitnah semakin berleluasa, masa kian tiada, ingatlah pesan Baginda, tika baginda menziarahi neraka, sebahagian besar penghuninya, terdiri daripada kaum Wanita.
*sekadar pandangan fakir yang hina.jika salah perbetulkan lah hamba.