Kelebihan Ilmu
Sempena hari Jumaat yang penuh dengan berkah dan rahmat, suka saya berkongsi sekadar pengetahuan yang ada mengenai kelebihan-kelebihan yang dikurniakan Allah kepada orang-orang yang berilmu. Disampaikan melalui Jibril as kepada Rasulullah Saw dalam kitab Al-quran menceritakan tentang kelebihan orang-orang yang berilmu:
Firman Allah subhanahu wa ta'ala dalam Surah Al-Mujaadalah: ayat 11, tafsirnya: "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat".
Kelebihan orang yang berilmu sudah tentu tidak sama dengan orang yang jahil. Perbezaan tahap ilmu setiap insan membezakan tahap pemikiran dan keimanan mereka. Ini kerana untuk mencapai atau memperoleh iman, maka seseorang manusia itu wajib untuk berusaha dan berikhtiar untuk mendapatkannya. Maka untuk itu, usaha perlu disertakan dengan ilmu dan amal.
Kelebihan orang-orang yang berilmu banyak diceritakan dalam hadis-hadis Rasulullah saw dan dinukilkan oleh sahabat-sahabat yang empat. Antaranya ialah:
Pewaris para nabi
sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh abu Daud dan Tarmizi, " orang-orang yg berilmu adalah pewaris para nabi"
Dimuliakan orang
Sabda Rasulullah saw, riwayat Abu Naim drp Anas r.a, "ilmu pengetahuan itu menambahkan mulia dan meninggikan taraf seorang hamba kpd raja"
Jika dikaji dengan lebih mendalam mengenai ilmu, maka ilmu hanya lah sekadar pengetahuan yang mana tidak boleh memberi bekas (tak dak kuasa). Maka yang mempunyai kuasa itu hanyalah Allah swt, sesungguhNya Dia lah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Tetapi apakah kelebihan sesuatu ilmu itu sendiri? Maka tidak lain kelebihan itu terletak kepada keberkatan sesuatu ilmu.
Ketinggian ilmu tidaklah bererti tingginya iman seseorang manusia. Ini kerana iman adalah kurnia Allah kepada mereka-mereka yang Allah swt kehendaki. Seperti yang dituliskan pada permulaan entri, untuk mencapai/ memperoleh iman, maka usaha-usaha ke arah itu perlu disertakan dengan ilmu. Maka dengan beramal dengan ilmu yang ada berkat, walaupun amalannya tidak banyak tetapi dapat memberi bekas ke dalam hati pengamalnya. Ilmu yang ada berkat perlu kepada Guru-guru yang ada salasilah perguruannya, yang sampai sanad nya kepada Rasulullah saw, yang ada perhubungannya kepada Allah swt dan Rasulullah saw.
Maka guru-guru yang mempunyai salasilah/susur galur ilmu yang sampai kepada Rasulullah saw ini, adalah Guru-guru yang membawa ilmu/amanah yang mana Allah swt mengurniakan keberkatan ke atas diri mereka. Sebuah hadis menceritakann sekiranya kita hadir bersama-sama orang yang ada berkat, maka keberkatannya itu akan terlimpah kepada mereka yang ada disekelilingnya. Apatah lagi jika kita mengamalkan ilmu yang ada keberkatan, maka dengan keberkatan itu kita memperoleh keuntungan dan kelebihan, bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat.
“Sesungguhnya perumpamaan teman yang shalih dan teman yang buruk hanyalah seumpama pembawa minyak wangi dan peniup tungku api seorang tukang besi. Bagi pembawa minyak wangi, boleh jadi sama ada dia memberinya kepada kamu (minyak wangi) atau kamu membeli daripadanya (minyak wangi) atau kamu mendapat bau harum daripadanya. Bagi peniup tungku api seorang tukang besi, boleh jadi sama ada ia akan membakar pakaian kamu (kerana kesan tiupan api) atau kamu mendapat bau yang tidak sedap daripadanya (bau besi).” (Diriwayatkan oleh Muslim).
Tetapi untuk mendapatkan kesempurnaan dalam melakukan ilmu(amal dan ibadat), maka pelbagai proses perlu dilalui oleh setiap insan. Ini kerana tidak ada jalan pintas (short cut) untuk kita memahami agama Islam dan mencapai tahap keimanan secara terus. Maka dengan melalui dugaan dan ujian yang dikurniakan oleh Allah swt, tingkatan ilmu itu akan berubah dari satu peringkat ke satu peringkat mengikut fitrah insan tersebut. Ilmu yaqin--> ainul yaqin-->haqqul yaqin-->kamalul yaqin (proses yang perlu dilalui).
Untuk itu, kita janganlah mengharapkan kefahaman dalam agama secara serta merta atau melalui jalan
yang mudah. Sebaliknya, setiap insan yang bercita-cita untuk menuju ke hadrat Allah swt, perlulah bersiap sedia untuk melakukan banyak pengorbanan dari sudut masa, tenaga, kewangan dan kehidupan. Proses menuntut ilmu sememangnya memerlukan banyak perngorbanan. Baginda Rasulullah saw menjanjikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang melakukan pengorbanan tersebut dengan bersabda:
"Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari ilmu, maka Allah swt akan memudahkan baginya jalan ke syurga" (hadis riwayat Muslim)
Maka orang-orang yang berilmu, yang mana mereka telah melalui proses dan beroleh nikmat/kesan ke atas ilmu yang telah diamalkan, maka mereka di ibaratkan seperti sebuah pohon. Yang mana mereka menjadi tempat teduh kepada manusia lain. Dan sekiranya mereka beriman, maka mereka bukan sahaja menjadi pohon, malah menjadi pulau yang mana ramai manusia mendapat manfaat dari mereka.
Pesan saidina Ali karamullahu wajhah,
Untuk selamat fitnah di akhir zaman ini, dalamlah fahaman agama, dan bodohkan diri.
Semoga memberi manfaat. As-salam :)
No comments:
Post a Comment