Alam persilatan Melayu sungguh kaya dgn pelbagai rupa bentuk dan seni silat. Tari menari, bunga dan langkah mempamerkan ketinggian budaya dan warisan bangsa Melayu. Maka dalam gerak-gerak silat itu sendiri terdapat unsur-unsur pendidikan budaya agar ahli yg tahkik dgn ilmu persilatan itu nanti akan lahir rasa cinta kepada bangsa dan perjuangan agama. Bagi ahli silat yg sbnar, bukan kekuatan yang menjadi kayu ukur dan matlamat. Ini kerana persilatan Melayu ini mempunyai seni-seni dan teknik-teknik yg unik yg mampu menewaskan musuh melalui caranya yg tersendiri. Pelbagai rupa bentuk penanti serangan, buah-buah dan kuncian menjadi pakaian ahli-ahli silat dan ini menjadi tradisi dari zaman ke zaman. Pakaian-pakaian ini bukanlah menjadi penyebab dan punca yang mendorong kepada sifat sombong dan takbur. Bukan juga menjadi alat untuk menceroboh dan membuat nista. Ahli yang tahkik dengan ilmu silat ini akan merasa diri mereka lemah dan hina kerana segala gerak dan pancaindera mereka adalah berpunca dari kurnia Ilahi. Maka, kurnia ini perlulah digunakan untuk menjaga kehormatan diri dan untuk tujuan yang murni. Kesannya akan lahirlah masyarakat yg merasa tanggungjawab terhadap diri sendiri dan akan lahir rasa tanggungjawab kepada masyarakat di sekelilingnya.
Ilmu silat yang berbeza mengikut perguruan, bukanlah bermatlamat untuk menunjuk keupayaan dan kekuatan masing-masing. Malah ia menjadi bukti nyata bahawa masyarakat Melayu itu sendiri kaya dengan pelbagai kesenian bangsa. Maka ahli silat yg sebenar tidak akan menghina dan mencaci seni silat yg lain kerana seni itu adalah seni Melayu, menghinanya ibarat menghina diri sendiri, menghina bangsa Melayu, ibarat meludah ke langit, terkena muka sendiri. Melalui kajian dan sejarah, silat Melayu ini berteraskan tiga unsur; pertama Tauhid kepada Allah Swt, kedua rasa kasih dan cinta kepada Rasulullah dan ketiga rasa cinta dan tanggungjawab kepada bangsa dan negara. Maka elemen-elemen ini menjadi teras kepada alam persilatan Melayu. Oleh yg demikian, segala unsur tahyul dan khurafat serta kefahaman ilmu yang songsang pada hakikatnya tidak ada di dalam silat Melayu yg sebenar kerana pegangan hati dan pergantungan hati kepada Allah Swt dan mengamalkan sunnah Rasulullah menjadi teras dalam ilmu silat Melayu.
Bagi masyarakat Melayu dahulu, seorang anak lelaki harus mempelajari ilmu silat sebagai usaha untuk melengkapkan diri sebelum menempuhi kehidupan yang hakiki. Ilmu silat itu sendiri sebenarnya kaya dengan pendidikan yang mampu mengajar erti kehidupan dan kesanggupan untuk hidup.Namun, agak menyedihkan kerana pada hari ini masyarakat hanya memandang sebelah mata dan ada yang tidak memandang langsung akan perihal seni silat sedangkan ilmu dan seni ini mempunyai pelbagai kelebihan dan unsur-unsur pendidikan jasmani dan rohani yang diperlukan oleh kerajaan pada masa kini dalam mengisi keperluan modal insan negara.
*sekadar pandangan dan perkongsian.amat dialukan jika ada yang ingin berkongsi pandangan.
No comments:
Post a Comment