Thursday, December 20, 2012

Minda Kelas Satu

Minda Kelas Satu (First Class Thinking)

Minda adalah suatu entiti yang sangat berbeza berbanding dengan otak manusia. Minda merupakan suatu tenaga yang ada dalam diri seseorang yang mempengaruhi asas setiap tindakkan manusia itu. Minda diertikan sebagai suatu daya fikir yang disubur dengan ilmu pengetahuan sehingga ia mampu menghasilkan satu pilihan dan keputusan dalam menyelesaikan masalah berdasarkan tahap rasional dan intelektual seseorang itu. Ia juga ditafsir sebagai gabungan antara perlakuan yang meningkatkan pengetahuan iaitu ingatan, imaginasi, diskriminasi, perbandingan dan alasan dengan perlakuan yang melibatkan perasaan iaitu takut, sayang, sedih dan seronok serta melibatkan perlakuaan yang menunjukkan kehendak iaitu memilih.

Menurut YM Guru Utama PSSCM, Datuk Hj Maideen bin Kadir Shah, manusia yang ingin ke hadapan perlu kepada sesuatu yang dinamik dan segar. Daya pemikiran yang baru serta positif, disertakan dengan usaha yang progresif berbekalkan asas penilaian ilmiah dan tindakkan yang waras akan meletakkan seseorang itu di kelas yang terbaik dan tersendiri. Oleh hal yang demikian, seseorang itu bukan sahaja dipandang tinggi dek kerana nilai keilmuannya, bahkan kerana keupayaan dirinya mempamerkan akhlak dan tahap pemikiran yang sangat positif. Seseorang yang dapat mengawal emosi dan desakkan peribadi dalam setiap tindakkan mereka,bahkan tidak memandang rendah kepada keupayaan setiap manusia,mempunyai kesedaran kendiri yang tinggi dan senantiasa meneroka "khazanah" yang ada pada diri setiap individu, akan menghasilkan suatu bentuk dan rupa pemikiran yang baru yang dinamakan pemikiran "Minda Kelas Satu" (First Class Thinking).

Dalam menghasilkan suatu produk yang dinamakan sebagai "Minda Kelas Satu", bahan-bahan dan proses yang akan digunakan memainkan watak yang sangat penting dalam merencanakan penghasilan tersebut. Proses-proses itu merangkumi suatu aliran gabungan perlakuan manusia berdasarkan peningkatan tahap keilmuan dan pengetahuannya dengan keadaan persekitaran yang mana membentuk dan mempengaruhi perasaan, emosi dan pegangan hati seseorang individu. Kesan daripada gabungan tersebut akan mencanaikan satu aliran perlakuan yang dilakukan oleh minda dan dicerminkan oleh tindakkan, keputusan, sifat peribadi, jati diri, sahsiah diri seseorang individu. Kejayaan minda terhasil apabila semua aktivti mental itu bekerjasama secara harmoni. Maka, seseorang yang mempunyai tahap keilmuan dan pengetahuan yang tinggi, dan mampu mengawal emosi dan perasaan, serta mempunyai kehendak dan wawasan yang jelas akan menghasilkan suatu tahap pemikiran "Minda Kelas Satu".

Dewasa ini, kemakmuran negara dapat dikecapi hasil pembangunan negara yang begitu pesat. Namun begitu, kesejahteraan negara khususnya pembangunan sahsiah diri dan mentaliti masyarakat masih lagi terkebelakang dan tidak sejajar jika dibandingkan dengan peningkatan taraf infrastruktur dan ekonomi negara. Oleh yang demikian, negara menghadapi kesan yang sangat jelas iaitu; ilmu pengetahuan bercambah dan masyarakat semakin berkemahiran dan berpendidikan tinggi, namun mempunyai nilai etika yang rendah, minda yang tidak progresif, semangat dan kesedaran budaya yang kurang jitu. Walaupun mempunyai infrastruktur kelas satu, tetapi memiliki mentaliti dan minda kelas tiga.

Merujuk pada permulaan entri, pengahasilan minda kelas satu dapat terhasil sekiranya tahap  perlakuan yang menjurus kepada nilai-nilai ilmu itu dapat diimbang dengan perlakuan yang membentuk perasaan serta kehendak dan visi yang kehadapan. Persoalannya, bagaimana ingin diimbangkan? Justeru, menurut pandangan penulis, ilmu dan agama itu perlu disatukan dan dikembangkan dalam diri setiap individu. Ini kerana, ilmu akan memberi pengetahuan dan agama akan membentuk jati diri, perasaan, nilai-nilai etika, kehendak, akhlak dan keperibadian yang baik. Jika diperinci dan diberi pencerahan, agama itu merupakan panduan hidup dan cara hidup seseorang. Maka, bagaimana agama yang dianuti, begitu lah adab, adat,visi, misi, kepercayaan dan budaya hidup yang diamalkan dalam kehidupan seharian. Tambahan pula, sebagai seorang Melayu, cara hidup masyarakat Melayu sebenarnya adalah mengikut acuan Islam dan bertunjang akidah tauhid kepada Allah dan mengikuti sunnah Rasulullah SAW. 

Menurut sejarah bangsa Melayu, selepas kedatangan Islam ke tanah Melayu, segala adat dan kepercayaan masyarakat Melayu adalah berlandaskan Islam. Segala amalan dan kepercayaan tahyul khurafat serta pemujaan dewa-dewa sakti telah dikikis dan dihapuskan. Para ulama dan mubaligh Islam yang datang ke Tanah Melayu dulu telah mentranformasikan budaya orang Melayu yang sebelum ini berpandukan agama Hindu kepada kepercayaan Tauhid kepada Allah. Oleh itu, para ulama islam ketika itu dengan bijaksananya memasukkan agama ke dalam budaya orang Melayu, yang mana apabila manusia itu beramal dengan budaya, maka sampailah mereka kepada hakikat agama tanpa memisahkan ilmu dan agama. Kesannya, bangsa Melayu menjadi sebuah bangsa yang bertamadun hampir selama 700 tahun sebelum kedatangan penjajah barat

Selain itu, kesan dari penyatuan agama dan ilmu ini, melalui wasilah budya, bukan sahaja dapat menghasilkan individu minda kelas satu, bahkan dapat menyelamatkan dan menyelesaikan masalah hebat yang sedang dihadapi oleh masyarakat Islam pada hari ini iaitu "Sekularisme" dan "Pluralisme". Pemisahan agama dari ilmu banyak menghasilkan manusia yang "free thinker" dan bergantung kepada ilmu semata. Oleh hal yang demikian, dalam mengatasi masalah ini, masyarakat Melayu khususnya perlu kembali kepada cara hidup/ budaya hidup orang Melayu itu sendiri. Sekiranya kita tidak mengamalkan dan mempraktik cara hidup Melayu berlandaskan Islam, maka secara sedar atau tidak sedar kita telah menerima cara hidup masyarakat lain, yang lebih membahayakan di dalam budaya itu diisi dengan nilai-nilai keagamaan secara spiritual atau fizikal yang bercanggah dengan agama Islam dan boleh membawa kita syirik kepada Allah. Ini akan mempengaruhi dan merubah minda masyarakat Islam kerana secara tersembunyi minda mereka telah dijajah oleh anasir luar.

Oleh hal yang demikian, dalam pembangunan diri dan negara, pembangunan dari sudut ilmu pengetahuan sahaja tidak cukup tanpa membangunkan minda dan mentaliti masyarakat. Untuk melahirkan semula sebuah tamadun bangsa dan negara, negara perlu kepada masyarakat yang mempunyai minda kelas satu dengan pemikiran dan sikap yang berkualiti tinggi dari segi ilmu, tindakan, disiplin, dan wawasan ditambah semangat jati diri yang utuh disamping kemahiran dan ilmu pengetahuan. Hakikatnya, semua manusia perlu kepada minda yang boleh dijana untuk menjadikan mereka itu manusia yang berbudaya berprestasi tinggi. Namun begitu, ini semua bergantung kepada sejauh mana mindanya dijana dan diterapkan bagi menentukan hala tuju kehidupan masa kini dan akan datang. 

Muhammad Khairi Roslim
12.25 am Thursday,20 Dec 2012

*sekadar pandangan dan pengamatan diri sendiri