Kehidupan ini kadang sangat pelik dan penuh dengan tanda tanya. Semakin kita mengkaji dan cuba mengenali diri, semakin kita tidak mengetahui apekah yang sebenarnya ingin dicari. Benar kata orang tua, semakin belajar semakin bodoh. Semakin dalam di kaji, semakin tersembunyi. Yang sangat berkehendak tidak ke temu, yang jelas menjauh semakin hampir. Kehidupan, sangat pelik untuk difikirkan dan diterjemahkan ke dalam kalam manusia biasa. Tetapi faqir memanjatkan setinggi-tinggi syukur ke hadrat Ilahi, di atas kurnia Nya kepada faqir yang lemah, jahil lagi hina ini. Di beri lalu suatu kisah, menyata kan kebesaran Dia empunya, jelas terpampang di hadap mata, Allahu Akbar, Allah Maha Besar.
Di saat aku taat dalam mencari, dibukakan pintu taat agar aku tekun dan rajin dalam menambah dan mempertingkatkan amalan, kebaikkan dan kebajikan yang dianjurkan syarak.Sering menganjurkan kebaikkan kepada umum dan diri, menghiasi hari-hari dengan wirid dan zikir memuji Ilahi. Senantiasa mencari ruang meningkatkan amal. Aku rasa bagai sudah bertemu, bagai telah diterima dan di Qabul, sampai sudah ke hadrat hakiki. Namun hakikatnya tidak, tidak Qabul, tidak diterima. Kerna ketika itu, taat itu disertakan hama syirik, iaitu perasaan riak dan merasa benar di dalam diri, aku memandang keupayaan diriku sendiri, memandang wujud diri. Semakin aku mencari aku taat, semakin jauh dari hakikat kebenaran, semakin banyak amalan, semakin jaun diri ini dengan Tuhan.
Maka di saat amal tidak lagi dapat membawa aku ke hakikat KeEsaan, kerna kasih dari Yang Maha Esa, dihukumnya diri ini ke dalam dosa.Tatkala diri jatuh ke lembah yang hina, di saat taat diri jatuh melakukan dosa, najis dan maksiat. Mungkin selama ini biasa melakukan taat, belum pernah mengenal ketakutan. Lalu Dia lahirkan kedalam hati, suatu rasa, keinginan, hanyut di lembah duniawi. Selepas suatu masa, dia zahirkan jua ke dalam hati, suatu rasa, suatu gerak, lalu disumbatkan ke dalam hati rasa menyesal dan takut atas pembalasan Tuhan.
Di saat itu, timbul suatu rasa di dalam hati kecil ini, tiada siapa lagi dapat ku harapkan, Tiada siapa lagi hendak ku mohon pertolongan, Tiada jalan lain lagi untuk aku kembali kepada fitrah diri. Tiada suatu makhluk pun yang dapat membantu membersihkan najis dosa tadi melainkan Yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Kesal. Penyesalan itu membuka pintu taubat, pintu kesedaran, bahawa Dia sahaja yang dapat menyelamatkan. Lalu aku menangis menginsafi, akan hakikat kejadian diri. Baru tersedar akan diri, bahawa diri ini hak Ilahi. Merasa dhoif, lemah, lalai dan tidak mampu menguruskan kehidupan dengan baik, tanpa pertolongan dari Robbul Alam.
Tersandar aku di dinding masjid, merasa longlai di tikar sejadah, penuh pengharapan di waktu sujud, tidak ku toleh kiblat hati yang lain, selain berharap sebenar kepada Nya kerana di saat itu, aku tahu, aku lemah dan tidak berkuasa, tiada wujud suatu kuasa, tidak dapat aku taat, melainkan dengan limpah kurnia Nya.
Syukur Alhamdu Lillah, Tuhan pengasih. Dikirim duga, Dikirim Pertolongan. Dikurniakan jua seorang teman.Tiba-tiba muncul di hadap mata, senantiasa membantu dan memberi panduan. berkat Mursyid yang penuh hikmah, karamah hikmah kedua orang tua, dapat memperbaiki diri yang hina, semoga ditetapkan hati di jalan Kurnia.
*Terkadang Allah membuka untukmu pintu taat, tetapi belum dibukakan bagimu pintu qabul, sebagaimana ada kalanya ditakdirkan engkau berbuat dosa tetapi menjadi sebab Wasil ilallah.(Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari ra)